Wednesday, June 5, 2013

SAMBUTAN PESTA MENUAI KG. TEMPASUK 2, KOTA BELUD, SABAH

Info berkenaan sambutan Pesta Menuai Kg. Tempasuk 2 Tahun 2013

Salam Sejahterah,

Sukacita dimaklumakan sambutan Pesta Kaamatan peringkat Kg. Tempasuk 2 akan diadakan pada ketetapan seperti berikut

Tarikh : 8 Jun 2013 (Sabtu)
Tempat : Dewan Kg. Tempasuk 2, Kota Belud
Masa : 9.00 pagi hingga 6.00 petang

Pelbagai aktiviti akan dijalankan semasa sambutan ini antaranya ialah Ngunduk Ngadau, Ratu Tradisi Kanak-kanak, Pertandingan Masakan Tradisional, Pertandingan Tapai dan Bahar dan Acara Tarik Tali. Disamping itu, sambutan ini juga akan dimeriahkan dengan aktiviti berkaraoke sambil menderma.

Suhubungan itu, penduduk Kg. Tempasuk 2 terutamanya para belia dijemput hadir bagi memeriahkan lagi sambutan pesta ini. Para belia juga diharapkan dapat meluangkan masa untuk memberi kerjasama dalam menjayakan pelaksanaan sambutan ini.




Sambutan Pesta Menuai Kg. Tempasuk 2 bertempat di Dewan Kg. Tempasuk 2 yang dirasmikan oleh YB Abdul Rahman Dahlan beberapa tahun yang lepas.


Selamat menyambut Pesta Menuai kepada semua warga Kg. Tempasuk 2, Kota Belud

Sekian, terima kasih.

Sunday, June 2, 2013

KOTOBIAN TADAU TAGAZO DO KAAMATAN

Salam Sejahtera,

Tanggal 30 dan 31 Mei merupakan hari bagi suku kaum Kadazan Dusun di Sabah menyambut Tadau Kamaatan ataupun Pesta Menuai. Pada kali ini, daerah Kota Belud telah dipilih sebagai tuan rumah bagi sambutan Pesta Kaamatan peringkat Negeri Sabah. Pesta telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah YB Datuk Seri Musa Aman di Tapak Tamu Besar Kota Belud, Sabah. Majlis ini juga dihadiri oleh Huguon Siou (Ketua Kaum) YB Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.


KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman bersama Tan Sri Joseph Pairin Kitingan (kiri) ketika perasmian Pesta Kaamatan peringkat negeri Sabah di Kota Belud



Acara kemuncak pesta ini akan diadakan di Dewan KDCA, Penampang, Sabah. Di sini pertandingan akhir Nguduk Ngadau dan juga Sugandoi akan diadakan selain daripada persembahan kebudayaan masyarakat Kadazan Dusun.

Secara umumnya, sambutan perayaan ini dapat mengeratkan hubungan sesama masyarakat Kadazan Dusun di Sabah khasnya dan sekuruh rakyat Negeri Sabah amnya tanpa mengira kaum mahupun agama.

Sambutan pesta ini juga sedikit sebanyak dapat memperkenalkan kebudayaan masyarakat Kadazan Dusun di Sabah kepada masyarakat dunia.



SEDIKIT SEJARAH MENGENAI HARI KAAMATAN

Pesta Kaamatan atau nama lain iaitu (Tadau Kaamatan) atau di dalam bahasa Kadazan "Magavau" merupakan upacara perayaan khas untuk menghormati "Bambazon" iaitu semangat padi. Perayaan ini adalah amalan secara tradisi Kaum Kadazan-Dusun sejak zaman berzaman. Perayaan "Magavau" ini biasanya diadakan selepas selesai menuai padi. Pesta Kaamatan yang dirayakan dewasa ini telah diluluskan oleh Majlis Undangan Kerajaan Koloni sebagai cuti umum Sabah sejak tahun 1960 lagi, oleh Tun Haji Mohamad Fuad Stephens, Ketua Menteri Sabah yang pertama.
Antara sambutan menarik yang diadakan ialah persembahan dan pertandingan tarian Sumazau. Tarian ini ditarikan oleh kaum petani terdiri daripada lelaki dan perempuan dengan memakai pakaian tradisional mereka. Tarian ini dengan iringan paluan gong/kulingtangan. Tarian ini ditarikan dengan kedua-dua tangan diangkat ke paras bahu dan dikibar-kibarkan umpama kipasan sayap burung, mengikut alunan rentak yang dimainkan.
Selain daripada persembahan tarian Sumazau, diadakan juga pertandingan nyanyian dipanggil Sugandoi, pertunjukan bina badan, dan ratu cantik atau "Unduk Ngadau", dan persembahan segala jenis kesenian dan kraftangan. Pertandingan seperti memukul gong/kulingtangan dan sukan rakyat seperti luma kerbau juga menjadi antara acara utama dalam perayaan ini.
Antara hidangan popular semasa perayaan ini ialah meminum tapai atau "Kinomol", iaitu sejenis arak tradisional. Tapai merupakan minuman tradisi mereka, diperbuat sama ada daripada beras(nasi) atau ubi kayu. Nasi akan diperam di dalam sebuah tempayan besar atau "tajau" selama seminggu, atau ubi kayu diperam selama dua hingga tiga minggu. Biasanya tapai dicampur dengan ragi untuk mempercepatkan proses "memberi rasa" kepada tapai tersebut. Makanan tradisional turut disediakan sempena hari tersebut.
Mereka menggunakan sebatang buluh kecil yang dipanggil "Sumbiling" untuk menyedut air tapai ini dari dalam tempayan besar. Biasanya sumbiling digunakan untuk meminum air tapai yang diperbuat daripada ubi kayu. Selain itu, mereka juga menggunakan gelas khas dinamakan "Singgarung" yang diperbuat daripada buluh.

Asal - Usul Magavau
Terdapat banyak sebutan perkataan Magavau ini mengikut dialek dan lokasi suku kaum Kadazandusun. Walau bagaimanapun ia tetap membawa maksud yang sama.
Menurut cerita lisan, Kinoingan ( Tuhan ) dan isterinya Suminundu mempunyai seorang anak perempuan yang bernama Huminodun. Untuk menyelamatkan orang-orang Kadazandusun daripada kebuluran kerana tidak mempunyai makanan yang mencukupi, maka Kinoingan terpaksa mengorbankan anak kesayangan mereka Huminodun. Huminodun dibunuh dan mayatnya dikubur menurut adat istiadat selengkapnya. Kononnya, mayat Huminodun itu telah mengeluarkan berjenis-jenis benih tumbuhan yang menjadi makanan utama kepada kita sekarang. Salah satu benih tumbuhan itu ialah padi. Oleh kerana sebahagian dari mayat Huminodun itu mengeluarkan benih padi, maka wujudlah kepercayaan bahawa padi itu mempunyai semangat yang diberi nama "Bambazon".
Bermula dari kejadian inilah orang-orang Kadazandusun memulakan upacara Pesta Kaamatan ( Pesta Menuai ) seperti yang dirayakan dewasa ini. Perayaan seumpama ini mengharapkan agar rezeki yang akan datang bertambah baik dan lumayan. Upacara penghormatan terhadap semangat padi yakni padi-padi yang selesai dituai dan telah selamat dimasukkan ke dalam ketawai ( Tangkob ) iaitu bekas tempat menyimpan padi. Selain itu, perayaan Pesta Kaamatan ini juga mengingatkan kita akan rasa penghargaan dan penghormatan masyarakat Kaum Kadazandusun akan Penciptanya ( Kinoingan ) yang sanggup mengorbankan anak kesayangannya Huminodun untuk menyelamatkan orang-orangnya supaya tidak mati kebuluran.

Sekian, terima kasih.